Wednesday 9 November 2016

Pentingkah Ujian Darah?

Pentingkah Ujian Darah?



Tahukah dengan Ujian Darah anda akan mengetahui tentang tahap kesihatan kita..



Kebanyakan orang kurang sedar, malah ada segelintir tidak tahu langsung apakah itu ujian darah dan keperluannya dalam memelihara kesihatan.
Ternyata ujian darah mempunyai banyak manfaat penting buat tubuh. Ia bukan sekadar sebagai penyukat tahap kolesterol atau diabetis sahaja.Para doktor banyak bergantung pada ujian darah untuk membuat diagnosis akan sesuatu penyakit. Darah boleh digunakan untuk menilai keadaan dan fungsi sesuatu organ lain tanpa perlu mengambil tisu organ tersebut.

Namun, kebanyakan rakyat Malaysia sangat takut hendak menjalani ujian darah, kerana bimbang jika keputusan menunjukkan mereka menghidap penyakit tertentu.
Tanggapan ini tidak bagus kerana jika penyakit dapat dikesan awal, peluang untuk anda sembuh jauh lebih baik kerana negara kita mempunyai sistem rawatan yang terbaik dan moden.

Apakah yang dilakukan dalam ujian darah?


1) Kiraan Darah Keseluruhan


Ia dilakukan untuk mengetahui kiraan darah keseluruhan anda, paras gula (glukosa), kandungan lipid (kolesterol), fungsi hati dan buah pinggang anda.
Dalam ujian ini, tiga perkara diukur iaitu kiraan sel darah merah, sel darah putih dan platelet. Ujian ini penting untuk mengetahui kiraan sel darah merah anda (terutama hemoglobin) yang berfungsi membawa oksigen ke seluruh organ dan badan.
Ia juga penting,terutama wanita yang mengalami masalah anemia (kurang sel darah merah), kerana mereka tidak menyedarinya. Bagi individu anemia, keadaan boleh menjadi lebih buruk jika mereka tidak mendapat makanan berkhasiat dan ketika haid.

2) Paras gula (glukos)


Manakala, untuk ujian ini anda perlu berpuasa selama 10 jam bermula dari jam 10 malam. Paras gula dalam darah yang normal ialah kurang daripada 5.6 milimol/liter. Jika keputusan anda menunjukkan lebih 7 milimol/liter, ia menandakan anda menghidap kencing manis.
Paras antara 5.6 hingga 6.9 menunjukkan seseorang itu berisiko dan berpotensi mendapat kencing manis dalam masa terdekat jika langkah penjagaan tidak diambil segera.

3) Profil kolesterol


Ujian ini juga memerlukan anda berpuasa 10 jam. Paras kolesterol keseluruhan mesti kurang daripada 5.2 milimol/liter. Paras HDL yang normal ialah lebih 1.3 milimol/liter (bagi lelaki) dan 1 milimol/liter bagi wanita.
Paras LDL pula sedikit berbeza mengikut tahap kesihatan seseorang. Bagi individu normal, paras LDL mesti kurang daripada 3.4 milimol/liter. Jika seseorang itu menghidap kencing manis, tahap LDL normal ialah kurang daripada 2.6 milimol/liter.
Jika dia menghidap kencing manis dan mempunyai masalah jantung (termasuk pernah mengalami serangan jantung, menjalani angioplasti atau pembedahan pintasan jantung), paras LDL mesti kurang daripada 1.8 milimol/liter.

4) Ujian fungsi hati


Antara perkara yang diperhatikan dalam ujian ini ialah paras protein (albumin), bilirubin dan beberapa enzim hati seperti ALT, AST dan GGT. Paras bilirubin diukur untuk mengetahui seseorang itu mempunyai cukup ‘bahan’ untuk menghasilkan sel darah baru.
Paras enzim hati akan meningkat jika seseorang itu mengalami jangkitan virus Hepatitis A, B dan C; minum banyak minuman beralkohol, pengambilan ubat dan masalah hati berlemak.
Masalah hati berlemak perlu diberi perhatian serius kerana ia boleh menyebabkan kerosakan hati. Empat faktor boleh menyebabkan masalah hati berlemak iaitu kencing manis, tekanan darah tinggi, paras kolesterol tinggi dan berlebihan berat badan atau obesiti.

5) Fungsi buah pinggang (Profil renal)


Ukuran elektrolit (garam galian darah) seperti sodium, potassium, klorida, kalsium dan fosfat akan diambil. Ia untuk menentukan seseorang itu mempunyai cukup garam galian dalam badan.Ujian ini juga menguji kehadiran urea dan kreatinin untuk mengetahui fungsi penapisan yang dilakukan buah pinggang
Dua punca yang boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang adalah kencing manis dan tekanan darah tinggi. Hampir 90 peratus kerosakan buah pinggang disebabkan dua penyakit ini, manakala 10 peratus lagi berpunca daripada masalah buah pinggang itu sendiri.

Ujian Tambahan Bagi Wanita

Untuk wanita, terdapat dua lagi ujian tambahan yang ‘wajib’ anda lakukan iaitu imbasan bunyi (bagi wanita di bawah 40 tahun) atau mamogram (untuk wanita melebihi 40 tahun) bagi mengesan kanser payudara.

Mereka juga perlu menjalani ujian lumuran pap atau lebih anda kenali sebagai ‘Pap smear test’ untuk mengesan kanser serviks. Kedua-dua ujian ini sangat penting untuk dilakukan kerana wanita terdedah kepada risiko untuk mendapat kedua-kedua penyakit ini.

Panduan ini hanya memberikan anda maklumat umum tentang jenis-jenis dan kepentingan ujian yang perlu anda lakukan. Anda disarankan untuk mendapatkan maklumat atau keterangan lebih jelas daripada doktor.Lebih baik anda sediakan payung sebelum hujan! Jadi, selain mengamalkan gaya hidup sihat setiap hari, anda jangan takut untuk membuat ujian darah ok.







0 comments:

Post a Comment