Monday 5 December 2016

Kejatuhan Nilai Mata Wang – Adakah Ringgit akan mengalami nasib Dolar Zimbabwe?

Kejatuhan Nilai Mata Wang – Adakah Ringgit akan mengalami nasib Dolar Zimbabwe?


Prof Dr. Mohd Nazari Ismail, Ketua Biro Penyelidikan IKRAM.

Kejatuhan mata wang Ringgit sekarang ini dilihat oleh sesetengah pihak sebagai sesuatu yang menguntungkan negara kerana ia menjadikan barangan ekspot Malaysia lebih murah berbanding dari negara lain. 

Di samping itu sektor pelancungan juga akan untung kerana mungkin pelancung asing akan lebih tertarik dengan Malaysia sebagai destinasi kerana kos berbelanja di Malaysia akan menjadi lebih murah untuk mereka.

Namun sebenarnya terdapat juga sektor industri negara yang akan rugi akibat kejatuhan nilai Ringgit,  terutama sekali sektor yang banyak mengimpot input untuk proses pembuatan. Ini termasuk sektor elektronik, produk petrolium dan kimia. 

Di samping itu satu lagi sektor penting yang banyak bergantung kepada impot ialah sektor makanan. 

Pada tahun 2014 jumlah impot makanan  ialah USD 16.7 billion setahun atau 8% dari jumlah impot negara.[i]  

Kita sebenarnya mengimpot hampir semua jenis makanan termasuk daging, tenusu dan telor, makanan laut, bijiran, sayuran, buah-buahan, gula, madu, kopi, koko, teh, rempah dan lain-lain. [ii] 

Oleh itu kejatuhan Ringgit akan membuat makanan menjadi lebih mahal dan memberi kesan yang sangat negatif kepada golongan berpendapatan rendah kerana sebahagian besar dari pendapatan mereka dibelanjakan untuk makanan.

Mungkin ada yang bertanya kenapa mata wang Ringgit selalu berubah. Untuk memahami nya, kita perlu membezakan antara konsep wang dan mata wang. 

Mata wang adalah satu kaedah yang dicipta oleh manusia akibat amalan Riba. Dalam sistem Riba, bank akan sentiasa ingin memberi pinjaman dalam jumlah yang sebanyak mungkin dan melebihi had jumlah wang fizikal dan inilah yang membuat nilainya tidak stabil. 

Dalam erti kata yang lain, mata wang tidak mempunyai nilai intrinsik (semulajadi) dan inilah yang menjadi pembeza utama antara mata wang dan wang kerana wang yang mempunyai nilai intrinsik. 

Contoh wang yang paling baik ialah dinar emas di zaman Rasulullah SAW yang mempunyai nilai semulajadi yang diterima oleh hampir kesemua manusia di dunia ini. Tambahan pula nilainya juga stabil. 

Sebaliknya nilai mata wang tidak semestinya diterima di semua tempat dan biasanya akan sentiasa susut nilainya. Bahkan kadangkala mata wang boleh jatuh menjunam. 

Salah satu sebab utama kenapa ini boleh berlaku ialah ialah apabila sistem perbankan sesebuah negara yang terbabit telah terlebih dalam mengeluarkan atau mencipta mata wang.  

Salah satu contoh kejatuhan nilai mata wang akibat dari pengeluaran mata wang yang terlebih  ialah  kes mata wang Dolar Zimbabwe. 

Pada tahun 2008 jumlah mata wang negara tersebut telah bertambah sebanyak  658 billion peratus. Akibatnya kadar inflasi mencecah 80 billion trillion peratus setahun (89,700,000,000,000,000,000,000) pada penghujung tahun tersebut. 

Nilai mata wangnya jatuh begitu mendadak sehinggakan jika seseorang mempunyai  Z$100 billion, ia tidak mencukupi untuk membeli sebungkus roti.[iii]

Kejatuhan nilai dolar Zimbabwe sebenarnya bermula sekitar 2006 akibat beberapa faktor. Antara lain ialah amalan korupsi yang sangat meluas di kalangan pemimpin dan kakitangan kerajaan Zimbabwe di bawah pimpinan Presiden Robert Mugabe. 

Beliau adalah seorang diktator yang korup dan zalim yang enggan melepaskan kuasanya walaupun dibenci oleh rakyat. Sudah tentu suasana politik yang tidak demokratik ini akan memberi kesan yang sangat negatif kepada ekonomi negara. 

Dalam usaha untuk menjadi popular di kalangan penyokong kulit hitam, beliau telah membenarkan banyak ladang milik pengusaha kulit putih dirampas. 

Akibatnya pengeluaran dari ladang-ladang di Zimbabwe merosot. Satu laporan menganggarkan kerugian pengeluaran akibat tindakan ini sebanyak USD12 bilion (RM50 billion) dari tahun 2000 hingga 2011[iv]    

Untuk membiayai perbelanjaan kerajaan, Zimbabwe telah membuat keputusan untuk mengambil jalan mudah iaitu berhutang dari institusi kewangan luar negara termasuk IMF. 

Sepatutnya selepas itu ia berusaha untuk membayar hutang tersebut melalui pendapatan cukai dan pendapatan kerajaan yang lain. Malangnya ekonominya yang lemah mengakibatkan pendapatan kerajaan tidak mencukupi untuk membayar hutang luarnya . 

Pada tahun 2004 kerajaan Zimbabwe membuat keputusan mengeluarkan lebih banyak mata wang dolar Zimbabwe yang seterusnya digunakan untuk membeli mata wang asing yang kemudian digunakan untuk membayar hutang nya.[v]

Tetapi langkah menambah jumlah mata wangnya adalah satu kesilapan akibat dari kurang memahami bagaimana sistem perbankan Riba beroperasi. 

Dalam sistem ini, mata wang yang dicipta oleh bank pusat akan dimasukkan kembali ke dalam sistem perbankan sebelum dikeluarkan dalam bentuk hutang dan dimasukkan kembali dalam bentuk deposit. 

Bila proses ( yang juga dikenali dengan nama proses `penciptan kredit’) ini berulang beberapa kali ia akan mengkibatkan pergandaan jumlah mata wang pada kadar yang sangat tinggi. 

Jumlah mata wang yang sangat banyak ini lah yang sebenarnya membuat kadar inflasi di Zimbabwe menjadi begitu teruk sekaligus menjatuhkan nilai dolar Zimbabwe pada kadar yang dasyat berbanding mata wang lain.

Akibatnya rakyat Zimbawe sendiri enggan menggunakan mata wang negara mereka sendiri dan lebih suka menggunakan mata wang asing terutama sekali dolar Amerika. 

Sekarang ini rakyat Zimbabwe menggunakan beberapa mata wang asing selain dolar Amerika termasuk Yuan di dalam sistem kewangannya dengan kebenaran kerajaan Zimbabwe.[vi] 

Ekonominya masih tenat dan Zimbabwe terpaksa berhutang kepada beberapa pihak luar termasuk kepada negara Cina iaitu sebanyak USD666 juta.[vii] 

Mungkin ada pihak yang bimbang perkara yang sama akan berlaku kepada Ringgit Malaysia kerana persamaan beberapa fakta seperti hutang luar yang meningkat, amalan korupsi yang berleluasa serta penglibatan negara Cina dalam ekonomi negara. 

Namun penulis merasakan bahawa ini adalah satu ramalan yang agak ekstrim. 

Ini kerana ekonomi Malaysia di dalam keadaan yang tidak seteruk Zimbabwe. 

Rakyat Malaysia amat rajin berkerja dan oleh itu output negara kita adalah jauh lebih baik berbanding Zimbabwe. 

Inflasi di Malaysia juga terkawal buat masa ini iaitu pada kadar di bawah 5% . Namun ia agak serius dalam sektor tertentu seperti daging, ikan dan tenusu kerana produk tersebut adalah diimpot dan kejatuhan nilai Ringgit telah membuat kos impot meningkat.

Persoalan yang timbul  ialah kenapakah nilai Ringgit Malaysia jatuh begitu mendadak baru-baru ini sejurus selepas kemenangan Donald Trump di Amerika Syarikat?

Jawapannya ialah kerana Donald Trump telah berjanji akan melaksanakan beberapa polisi ekonomi yang bakal memberi kesan kepada ekonomi negara Amerika dan pada masa yang sama kepada ekonomi negara lain termasuk negara kita. 

Salah satu dari polisi tersebut ialah pembatalan perjanjian TPPA iaitu satu perjanjian yang beliau pernah sebut sebagai perjanjian gila.[viii] 

Jika ini berlaku ekspot Malaysia ke Amerika akan terjejas kerana tidak sebebas seperti yang diharapkan. Ini mungkin akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Di samping itu Trump juga telah berjanji akan menyuntik dana sebanyak lebih dari USD1 trillion (satu ribu bilion) ke dalam ekonomi negara Amerika untuk memulihkannya kembali.[ix] 

Ini membuat pasaran kewangan melihat kemungkinan ekonomi Amerika akan mengalami pertumbuhan. 

Kesan inflasi yang akan menyusul selepas itu dilihat akan mempengaruhi bank pusat Amerika (Federal Reserve) supaya meningkatkan kadar bunga. 

Jika itu berlaku maka aset kewangan di Amerika akan menjadi lebih menarik kerana pulangan akan meningkat. 

Inilah yang telah membuat ramai pelabur memindahkan dana masuk ke dalam sistem perbankan Amerika Syarikat dan sekaligus meningkatkan nilai mata wang dolar sebanyak 2% (purata) berbanding mata wang lain, termasuk Ringgit. 

Nilainya juga meningkat ke paras paling tinggi dalam tempoh 14 tahun.[x]  

Persoalannya seterusnya ialah kenapakah Ringgit Malaysia merupakan mata wang yang paling teruk terjejas dari segi nilai berbanding mata wang lain?

Ramai penganalisa ekonomi merasakan ianya adalah akibat dari suasana dalaman politik negara Malaysia yang tidak menentu.  

Susulan dari laporan Jabatan Kehakiman Amerika (atau DOJ) berkenaan skandal 1MDB dan penggunaan istilah `kleptokrasi’ (negara yang dipimpin oleh sekumpulan pencuri) untuk negara kita oleh DOJ, satu laporan mengatakan bahawa ramai pelabur merasa bimbang tentang tindak balas kerajaan Malaysia berkaitan isu 1MDB ini.[xi] 

Pelabur asing rata-rata melihat DOJ sebagai satu institusi yang bebas dan profesional. 

Walaupun ada sebilangan individu di Malaysia mentafsirkan tindakan DOJ sebagai berniat buruk atau merupakan sebahagian dari agenda golongan Yahudi Amerika untuk menawan Malaysia, namun kebanyakan pelabur yang mempunyai pengetahun tentang sistem kehakiman Amerika tahu bahawa itu adalah dakwaan yang tidak masuk akal.

DOJ di Amerika sebenarnya tidak berada dibawah kawalan mana-mana pihak. Secara umumnya ia menjalankan aktiviti penyiasatan mereka secara adil, professional dan tanpa niat buruk.  

Penyiasatannya yang melibatkan syarikat 1MDB dan juga rakyat Malaysia Jho Low and Riza Aziz dilakukan kerana terdapat bukti mereka telah melakukan aktiviti pengubahan wang haram (money laundering) yang bertentangan dengan undang-undang Amerika dan dengan menggunakan mata wang dolar Amerika. 

Secara automatic ini juga bermakna beberapa institusi kewangan Amerika adalah terbabit. Dengan itu DOJ tidak ada pilihan dari menyiasat kes itu.

Laporan yang dikeluarkan oleh DOJ sangat terperinci dan jelas menunjukkan bahawa Perdana Menteri Malaysia juga terlibat. 

Namun ramai pelabur asing berpendapat bahawa proses undang-undang di negara Malaysia tidak dihormati. Mereka berasa sangsi apabila melihat Peguam Negara dipecat serta pegawai tinggi MACC dipindahkan.  

Ramai juga merasa bimbang dengan trend dimana proses undang-undang tidak dihormati oleh pemerintah kerana ini akan memberi kesan kepada suasana ekonomi dan perniagaan jangka panjang. Mereka juga bimbang nilai jangka panjang pelaburan mereka akan terjejas.

Apa yang memburukkan lagi persepsi mereka ialah apabila melihat beberapa orang ahli politik dan pemimpin NGO ditangkap dan dipenjarakan apabila cuba untuk mendedahkan salah laku pemimpin atau mengadakan protes terhadap kerajaan secara aman dan mengikut lunas undang-undang. 

Bagi pelabur penangkapan tokoh-tokoh demokrasi dan pembangkang itu menunjukkan bahawa negara Malaysia diperintah oleh pemimpin yang tidak boleh menerima kritikan dan tidak menghormati proses demokrasi. 

Dalam jangka panjang negara seperti ini bukanlah satu lokasi yang selamat untuk melabur. Itulah sebab utama kenapa Ringgit Malaysia menunjukkan prestasi yang paling lemah berbanding mata wang lain. 

Sama ada persepsi ini akan berterusan dan seterusnya mempengaruhi ekonomi negara jangka panjang bergantung kepada sama ada keadaan politik Malaysia akan berubah atau tidak di masa hadapan.

Akhir sekali salah satu faktor lain yang mempengaruhi kejatuhan mata wang Ringgit ialah persepsi bahawa pihak berkuasa di Malaysia tidak mempunyai rezab mata wang asing (khususnya Dolar Amerika) yang mencukupi untuk untuk membiayai impot barangan dan menahan proses kejatuhan nilai Ringgit berbanding dolar Amerika. 

Laporan dari akhbar kewangan terkemuka Bloomberg melaporkan bahawa sekarang ini Malaysia mempunyai rezab mata wang asing sebanyak hanya USD100 billion sahaja, sementara hutang luar jangka pendek negara adalah berjumlah USD128.2 billion (berdasarkan anggaran IMF).[xii]  

Jika rezab Malaysia tidak bertambah dalam masa terdekat, kemampuan Bank Negara Malaysia untuk mempertahankan nilai Ringgit akan terjejas jika pihak  spekulator mata wang asing `menyerang’  Ringgit Malaysia (yakni menjual dengan banyak dengan tujuan untuk menjatuhkan nilainya). 

Ini akan memburukkan lagi persepsi pasaran kewangan kepada Ringgit Malaysia dan akan bermakna bahawa Bank Negara Malaysia akan menghadapi cabaran yang sangat getir untuk meningkatkan kembali nilai mata wang negara kita di masa hadapan.

Pendapatan Sampingan Dengan Telefon Android, Mudahnya Menjana Pendapatan


 

0 comments:

Post a Comment